KOTA BHARU | Berpantang maut sebelum ajal. Dua daripada tiga lelaki yang dikhuatiri lemas selepas bot terbalik dipukul ribut malam tadi ditemui selamat.
Sumber yang juga kenalan kepada kedua-dua mangsa memberitahu Journal Malaysia, dikatakan kedua mereka ditemui nelayan di sekitar perairan Sabak kira-kira jam 2 petang tadi.
Kedua mereka ditemui dalam keadaan terapung dengan bergantung pada tong ikan.
Katanya dua yang terselamat ialah Mat Harun Mohd Nor, 54 dan Mat Awang @ Jali, 55 manakala seorang lagi dikenali sebagai Zulshahmi Danial Zulazman, 26, belum ditemui.
Mereka dikatakan keluar ke laut untuk memancing dan mencandat sotong.


Terdahulu Journal Malaysia melaporkan tiga lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik dalam jarak lebih kurang sembilan batu nautika dari daratan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini, malam tadi.
Kejadian jam 8.30 malam itu berlaku akibat ribut sebelum bot dinaiki tiga lelaki itu terbalik.
Bot dinaiki mangsa hilang selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai karam di perairan Kuala Besar pada jam 8.30 malam semalam akibat ribut.
Journal Malaysia mendoakan agar mangsa terakhir ditemui selamat.