PASIR PUTEH | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan masih mengesan seorang lagi mangsa bot fiber terbalik, Zulshahmi Danial Zulazman, 26, selepas dua daripadanya ditemui selamat oleh bot nelayan lain hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, ketika ditemui kedua-dua mangsa dalam keadaan sedang berpaut pada tong ikan pada jarak lebih kurang 10 batu nautika dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar.
Menurutnya, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Krian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Seramai lebih kurang 74 opegawai dan anggota Maritim Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia terlibat dalam carilamat yang dikoordinasikan oleh Malaysia Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan.
“Tiga aset laut terlibat hari ini iaitu Kapal Maritim (KM) Amanah, satu bot PDRM serta satu bot APM. Persatuan nelayan dan komuniti maritim turut membantu usaha-usaha pencarian.
“Sektor pencarian hari ini memfokuskan di sekitar kawasan penemuan dua mangsa yang selamat serta lokasi kejadian.
“Keseluruhan sektor pencarian merangkumi 25 batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini dua daripada mangsa iaitu, Mat Harun Mohd Nor, 54 dan Mat Awang @ Jali, 55, ditemui selamat jam 3 petang.
Katanya, orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengn Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau MRSC Kuantan di talian 09-571 7345.