KOTA BHARU | Semua sekolah di tujuh daerah di Kelantan disambung tutup sehingga 1 Mei ini, susulan peningkatan kes COVID-19.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zulkernai Fauzi menerusi surat pemakluman berkata, sekolah di tiga daerah lain iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang hendaklah beroperasi seperti biasa.
Katanya, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sekolah di tujuh daerah itu hendaklah diteruskan.
“Dimaklumkan bahawa Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) bagi mengawal penularan COVID-19 yang diadakan pada 21 April mencadangkan pelanjutan tempoh penutupan sekolah di tujuh daerah.
“Mengambil kira cadangan JKKN, JPN memutuskan supaya tempoh penutupan semua sekolah di jajahan terbabit dilanjutkan sehingga 1 Mei. Oleh yang demikian, PdPR hendaklah diteruskan,” katanya.
Menurutnya, bagi murid yang berada di asrama, mereka perlu terus kekal di asrama masing-masing.