KOTA BHARU | Umat Islam tidak cukup hanya dengan membimbing masyarakat untuk kebaikan diri mereka malah mesti diberi keterangan tentang bahaya jahiliah dan perlu dibenteras dalam sesebuah negara demi menggapai mardhatillah.
Itu yang dikongsikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini memetik Al-Syahid Syed Qutb melalui tafsir Fi Zhilal Al-Quran dalam tulisan penghayatan akhlak dan tasauf melalui pedoman al-Quran sempena Ramadan hari ini.
Membicarakan tajuk Kebijaksanaan Dalam Membimbing Masyarakat, Ahmad menerusi nukilannya berkata, begitu juga mesti ada seruan dakwah mengajak golongan bukan Islam dan pemeluk ideologi lain agar menghormati Islam seterusnya menerima Islam sebagai agama kehidupan.
“Usaha ini jika dilakukan secara Bashirah, dengan laras bahasa yang sesuai dengan masyarakat setempat, akan memberi kesan kepada penerimaan dakwah yang dibawa,” tulisnya.
Ahmad berkata, ALLAH SWT telah mengutuskan para Nabi dan Rasul di muka bumi ini untuk menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada azab dan seksaan-Nya kelak.
“Setiap Nabi termasuklah Nabi Muhammad SAW membawa misi penyelamat dengan panduan wahyu yang Bashirah untuk umatnya agar tidak berlaku syirik dan kesesatan hidup.
“Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Nabi SAW menyebarkan seruan dakwahnya secara Bashirah iaitu dengan ilmu dan burhan (bukti).
“Tegasnya mereka yang menyampaikan seruan dan membimbing masyarakat ke arah jalan yang benar hendaklah melakukannya dengan panduan ilmu dan mesti diutamakan hikmah atau adanya kebijaksanaan,” katanya.
Tegasnya, seseorang muslim mesti diberi kefahaman bahawa dengan membelakangkan tugas dakwah ia menjadi tanda kelemahan atau kecacatan iman seseorang.
Maka, Ahmad berkata, tugas mengajak manusia agar mengabdikan diri kepada ALLAH SWT adalah wajib.
“Pelaksanaan menyampaikan dakwah ini boleh dilakukan secara individu dan secara berjemaah namun mestilah dengan uslub atau kaedah yang telah dilaksanakan oleh Nabi SAW,” katanya.
Katanya, betapa para pendakwah khususnya dan masyarakat Islam umumnya perlu mempelajari sirah Nabi dan pendekatan para sahabat Nabi dalam membimbing manusia ke arah kebenaran.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya pengabaian dakwah dalam masyarakat sehingga orang jahil terus dengan kejahilan dan orang bukan Islam tidak mengenali keistimewaan Islam.
“Selain itu, berbekalkan uslub dakwah yang berhikmah akan menjadikan seruan dakwah tidak ekstrem dan tiada unsur pemaksaan dalam memilih agama,” katanya.