SHAH ALAM | Kejadian kebocoran gas di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), di sini baru-baru ini didapati mempunyai kaitan dengan kerja-kerja pembinaan LRT3, lapor Bernama.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan hari ini berkata punca sebenar hanya akan diketahui selepas siasatan selesai dan pihaknya juga bekerjasama dengan semua pihak berkenaan bagi memelihara keselamatan penduduk sekitar kawasan terbabit.
ST dimaklumkan mengenai kejadian pada 13 April lalu, dan Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD) selaku pemegang lesen yang bertanggungjawab telah mengambil tindakan segera bagi membaik pulih keadaan susulan kejadian.
“Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan, dan ST dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan, serta tiada gangguan bekalan gas berlaku kepada pelanggan berikutan kejadian itu,” menurut kenyataan itu.
Sekiranya ada aduan mengenai perkara ini, orang ramai boleh menyalurkannya segera ke sistem aduan ST (eAduan) yang boleh dicapai melalui www.st.gov.my atau melalui talian 03-8870 8800 atau email ke eAduan@st.gov.my.
ST merupakan badan yang bertanggungjawab mengawal selia sektor tenaga, khususnya industri pembekalan tenaga elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Tamat