PASIR PUTEH | Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa bot karam pada hari kedua ditangguhkan 7 petang tadi kerana jarak penglihatan yang terhad.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tiada sebarang petunjuk ditemui.
“Pencarian akan diteruskan semula esok jam 7 pagi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kelmarin tiga lelaki dikuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka untuk mencandat sotong karam selepas dipukul ribut selepas keluar dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Kuala Besar.
Bagaimanapun semalam dua daripadanya, Mat Awang, 54 dan Mat Harun Mohd Nor, 55 ditemui selamat oleh bot nelayan dan telah dibawa ke Jeti Pantai Sabak sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Kedua-dua mangsa yang terselamat dilaporkan stabil namun masih ditahan di wad untuk rawatan susulan.
Operasi hari ini bermula jam 7 pagi tadi dengan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Amanah dan bot PSC 35 milik Pasukan Polis Marin (PPM) ke sektor.
Pencarian hari ini melibatkan kawasan seluas 50.45 batu nautika persegi.
Mangsa yang belum ditemui, Zulshahmi Danial Zulazman, 26, dikatakan memakai baju berwarna kelabu dan seluar pendek berwarna hitam.
Sebarang maklumat lanjut hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau MRSC Kuantan di talian 09-571 7345.


