KUALA LUMPUR | Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu dilanjutkan bermula 28 April hingga 4 Mei ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak, Mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat, 27 April 2021.
“Setakat ini, sebanyak 107 kes positif Covid-19 19 telah direkodkan melibatkan kesemua lokaliti tersebut hasil 2,077 ujian saringan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dengan 22 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat serta terdapat 160 sampel sedang menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Katanya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kelima-lima lokaliti bermula 28 April sehingga 4 Mei.