KOTA BHARU | Sekolah di tiga daerah di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang ditutup sehingga 1 Mei depan.
Penutupan sekolah di tiga daerah itu menjadikan semua sekolah di Kelantan ditutup.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernai Fauzi dalam satu pemakluman berkata, penutupan sekolah itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (Khas) Negeri Kelantan- Penguatkuasaan Covid-19 hari ini.
Katanya, mesyuarat itu mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri supaya menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di tiga daerah iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.
“Penutupan ini kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil kira situasi semasa.
“Semua pelajar yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya.
Katanya, semua guru diminta untuk memastikan dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang penutupan sekolah.
Menurutnya, semua Pegawai Pendidikan Daerah hendaklah terus membuat pemantauan kesemua sekolah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Tutup-Sekolah-3-Daerah