KOTA BHARU | Syabu dan ganja bernilai lebih RM4.5 juta dirampas dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Kota Bharu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan
di Tanah Merah semalam, polis berjaya merampas 100 kilogram syabu bernilai RM3.6 juta.
Katanya, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada jam 9.30 pagi itu turut menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 sehingga 39 tahun.
“Risikan dilakukan sebelum serbuan dibuat dan menjumpai 100 bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang disorok di bawah lantai kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.
“Dalam serbuan ini, kita turut menyita dua kereta dan tiga motosikal bernilai RM53,000,” katanya dalam sidang media di IPK Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, syabu yang dirampas ini untuk pasaran Kuala Lumpur dan boleh digunakan oleh 500,000 orang.
Sementara itu, dalam serbuan di sebuah rumah dan berhampiran hotel di Kota Bharu pada jam 8 malam Selasa lalu, polis merampas 393 kilogram (kg) ganja bernilai RM982,000.
Katanya, serbuan itu turut menahan dua lelaki dan dua wanita berusia antara 31 hingga 50 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur.
“Ganja yang dirampas ini untuk bekalan ke Johor Bahru untuk pasaran di Indonesia yang boleh dipasarkan kepada 786,000 orang.
“Sindiket ini menggunakan lori muatan perabot bagi menyorok bekalan dadah.
“Kedua-dua sindiket bergiat aktif sejak tahun lalu yang mengambil bekalan dari negara jiran. Sindiket menggunakan orang tengah dengan memberi upah lumayan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyita sebuah lori, kereta jenis Honda Civic dan barang kemas yang berjumlah RM175, 373.
“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari,” katanya.


