KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan perajurit Kapal Selam KRI Nanggala-402 satu kehilangan yang besar buat Indonesia.
Baginda berdua juga menerusi satu kenyataan hari ini, turut amat berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo dan seluruh rakyat Republik Indonesia.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian perajurit-perajurit dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi ujian serta dugaan yang besar pada bulan Ramadan ini.
“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” kata kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi facebook Istana Negara itu juga, Baginda berdua mendoakan agar roh yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Menjunjung titah, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka Baginda berdua kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tuan Yang Terutama Hermono.