PETALING JAYA: Pertanyaan yang sering diajukan oleh pembangkang berkenaan 150,000 komputer riba dan tablet dijanjikan di bawah inisiatif CERDIK diumumkan dalam bajet 2021 akhirnya telah dijawab oleh kerajaan.
Yayasan Hasanah, sekretariat yang dilantik oleh kerajaan bagi inisiatif CERDIK, berkata 13,000 peranti telah diedarkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) kepada Pejabat Pendidikan Daerah di beberapa negeri.
“Lebih 1,000 pelajar telahpun menerima peranti mereka setakat ini.
“Berdasarkan kapasiti rantaian bekalan semasa, CERDIK menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pelajar akan menerima peranti mereka pada akhir bulan Mei ini.
“Pengedaran baki 100,000 peranti lagi dijangka selesai pada akhir bulan September 2021,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, program perintis ini dibiayai penuh oleh GLC/GLIC dan penderma korporat.
Kenyataan itu menambah, kesemua peranti telah disahkan yang terkini dengan kapasiti mencukupi untuk peningkatan taraf perisian bagi menyokong pembelajaran pelajar selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
Antara penderma korporat inisiatif itu termasuk Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Petronas, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Tabung Haji.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin meyakinkan ibu bapa bahawa setiap peranti CERDIK dilengkapi sokongan teknikal dan jaminan yang diperlukan untuk mengurangkan gangguan dalam pembelajaran digital.
“Krisis wabak Covid-19 telah jelas membuktikan bahawa pendigitalan sangat diperlukan.
“Pembelajaran maya, misalnya, sangat penting untuk memastikan persekolahan tidak terjejas dan pendidikan dapat diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menambah, pembelajaran digital adalah “komponen asas dalam pendidikan anak-anak kita jika kita ingin meraih manfaat ekonomi melalui Revolusi Industri Keempat.”
Inisiatif CERDIK pertama kali diumumkan November lalu adalah sebahagian daripada bajet 2021. Sejak itu, pelbagai pihak mempersoal kelewatan penghantaran peranti berkenaan.