PASIR MAS | Sebanyak 4,800 botol jamu tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berjumlah RM432,000 dirampas oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7).
Rampasan itu menerusi Op Benteng COVID di Bandar Tasek Raja di sini, pada jam 1 tengah hari semalam turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, jamu berkenaan dijual dengan harga RM90 sebotol dan untuk pasaran di Kuala Lumpur.
Katanya, hasil maklumat dan risikan anggotanya membuat serbuan ke atas sebuah rumah kedai. Setibanya di rumah kedai itu, satu lelaki membuka pintu dan mengaku sebagai pekerja di premis.
“Pegawai bertugas memperkenalkan diri dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan pekerja itu tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
“Pemeriksaan lanjut dalam rumah kedai menemui 4,800 botol jamu. Lelaki itu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah dan kelulusan daripada KKM berkaitan produk itu,” katanya.
Beliau berkata, hasil semakan dengan KKM mendapati produk itu tidak mendapat kelulusan.
Katanya, KKM memohon bantuan pihaknya untuk merampas produk itu bagi tindakan selanjutnya kerana bimbang terdapat banyak barangan kosmetik di pasaran yang tidak mempunyai kelulusan serta memudaratkan kesihatan pengguna.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan serta siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Perkara 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.