KUALA LUMPUR | Berkuatkuasa 28 April ini kerajaan akan melakukan sekatan sementara penerbangan keluar masuk dari India bagi mencegah kemasukan varian baharu dari negara itu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit untuk ke Malaysia adalah dilarang untuk memasuki Malaysia.
Menurutnya, larangan itu turut terpakai bagi penumpang yang transit di Malaysia untuk ke negara ketiga.
Walau bagaimanapun katanya, pengecualian hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini telah mendengar dan bersetuju dengan perbentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan cadangan tindakan bagi mencegah kemasukan varian baharu dari India untuk mencegah penularan Covid-19 dalam negara.
“Keputusan ini akan berkuatkuasa pada 28 April 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, antara perkara lain yang dipersetujui adalah, kapal mempunyai sejarah perjalanan dari negara India dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan prosedur sign- off di Malaysia kecuali kru warganegara Malaysia yang hanya wajib menjalani perintah kuarantin 14 hari.
Selain itu katanya, kerajaan juga melaksanakan sekatan sementara kemasukan pekerja asing dari India yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang masih sah laku.
Tambahnya, sekatan sementara kemasukan pelajar antarabangsa warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa (business travellers) juga dilaksanakan.
“Warganegara Malaysia (pelajar dan pekerja, pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tinggal di India dan kumpulan keagamaan) yang berada di India dibenarkan memasuki Malaysia dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan.
“Bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia dibenarkan memasuki Malaysia dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” katanya.