KOTA BHARU | Seorang peniaga colek turut dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan meniaga lebih masa.
Peniaga berkenaan, Mohd Azizi Mohd Noor, 42, yang berniaga di dalam garaj di hadapan rumah sewanya di Kampung Chekok Tengah, di sini, berkata, dia tekejut sebaik menerima kompaun RM50,000 yang dikeluarkan polis pada jam 11.30 malam kelmarin.
Katanya, ketika itu dia sudah tidak berniaga dan menutup lampu garaj, manakala isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, sedang menggoreng keropok untuk dimakan lima anak dan tiga anak saudaranya.
“Isteri saya sedang menggoreng keropok dan saya sedang mengemas premis sebelum beberapa polis datang dan meminta kad pengenalan.
“Polis berkenaan mengeluarkan saman berjumlah RM50,000 atas kesalahan beroperasi lebih had masa. Saya dan isteri terkejut memikirkan jumlah yang banyak itu dan kami tidak dapat tidur kerana tidak mampu membayarnya.


“Kami menyara hidup dengan menjual di kedai makan pada hari biasa dan colek pada Ramadan dengan pendapatan RM100 sehari. Pada masa yang sama, saya bekerja sebagai mekanik.
“Saya perlu menyara lima anak dan tiga anak saudara serta kakak ipar yang sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chekok Tengah di sini, hari ini.
Katanya, mereka tinggal di rumah sewa yang disewa RM400 sebulan.
“Jika saya perlu membayar jumlah kompaun itu, saya lebih rela masuk penjara,” katanya yang sudah membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah hari ini.-Journal Malaysia