KOTA BHARU | Pihak penguatkuasa digesa untuk mempertimbangkan semula jumlah kompaun RM50,000 yang dikenakan kepada Wan Mohd Faizal Wan Kadir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kompaun yang dikenakan itu terlalu tinggi untuk seorang peniaga kecil.
“Saya amat bersimpati dengan saudara Wan Mohd Faisal sebab dikompaun sebanyak RM 50,000 kerana kesalahan berniaga lebih masa pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad lalu.
“Sebagai seorang wakil rakyat yang setiap hari menerima aduan tentang permasalahan dan kerumitan peniaga kecil mencari nafkah ketika ini, berita seperti ini amat menyentap hati saya.
“Tiadakah langsung budi bicara dan belas kasihan pihak penguatkuasa sehingga tergamak mengenakan kompaun setinggi itu kepada beliau,” katanya.
Syahbuddin berkata, beliau difahamkan, Wan Faisak dan isterinya hanya menyiapkan tempahan yang diterima menerusi panggilan telefon dan Whatsapp.
Katanya, mereka berdua bukanlah membuka meja makan untuk pelanggan seperti kebanyak kedai makan yang lain.
“Maka apakah rasional Wan Faisal dikenakan tindakan kompaun setinggi ini oleh pihak penguatkuasa.
“Saya menyeru agar pihak penguatkuasa dapat mempertimbangkan semula jumlah kompaun yang telah dikenakan, peniaga kecil seperti beliau pasti tidak mampu mencari wang sebanyak itu,” katanya.
Ujarnya, jika jumlah kompaun itu tetap dikenakan, maka pihak penguatkuasa akan kelihatan zalim terhadap peniaga kecil.
“Saya menyeru sekali lagi, pertimbang semula jumlah kompaun ini,” katanya.