Hari ini saya bertemu media untuk memberi sedikit taklimat mengenai kedudukan kewangan negara. Salah satu perkara yang dibangkitkan ialah mengenai peruntukan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) – ada yang keliru sama ada ianya diperuntukkan di dalam Belanjawan 2021.
Pencerahannya adalah seperti berikut:
✅6 Nov 2020
Petikan ucapan Belanjawan 2021: “Dijangkakan, bekalan vaksin COVID-19 melibatkan kos melebihi RM3 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.”
Pada masa ini jumlah sebenar belum dimuktamadkan, maka tiada peruntukan yang dikhususkan di dalam Belanjawan 2021. Teks penuh di sini: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/751024/ucapan-penuh-belanjawan-2021
✅ 16 Nov 2020
Pertengahan bulan November, Menteri MOSTI mengumumkan bahawa rundingan di dalam fasa terakhir:
https://www.thestar.com.my/aseanplus/aseanplus-news/2020/11/16/malaysia-in-final-stage-of-talks-with-covid-19-vaccine-manufacturers
✅ 18 Jan 2021
Peruntukan RM3 bilion diumumkan secara rasmi untuk Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK). Vaksin untuk 80% penduduk Malaysia dan sasaran program imunisasi selesai Suku Pertama 2022.
Petikan dari ucapan YAB PM: “Sukacita saya mengumumkan bahawa perancangan program vaksinasi kita adalah on-track. Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin, dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung bulan Februari nanti. Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang telah ditubuhkan, Kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama. Sebanyak 3 bilion ringgit telah diperuntukkan khusus bagi perolehan ini.”
Teks penuh di sini: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/teks-penuh-pengumuman-khas-pakej-bantuan-permai-oleh-perdana-menteri-278436
✅17 Mac 2021
Peruntukan tambahan RM2 bilion diumumkan untuk Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) meliputi RM1.2 bilion untuk bekalan vaksin dan RM0.8 bilion untuk program imunisasi. Vaksin untuk 120% penduduk Malaysia dan sasaran program imunisasi selesai Disember 2021.
Petikan dari ucapan YAB PM: “Kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada 3 bilion kepada 5 bilion ringgit untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.”
Teks penuh di sini: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/797226/teks-penuh-ucapan-perdana-menteri
Mengapa perlu penambahan vaksin?
✅ 80% untuk mencapai imunisasi kelompok dan
✅ 40% untuk stok penimbal dan booster shot. Sebahagian populasi mungkin perlukan tambahan dos vaksin.
Mengapa perlu disegerakan sasaran imunisasi?
✅ Lebih cepat kita mencapai imunisasi kelompok, lebih cepat ekonomi dan kehidupan boleh kembali seperti sedia kala.
Jadi, jumlah keseluruhan bagi PICK ialah RM5 bilion, dan Kerajaan yakin ini akan menolong kita mencapai imuniti kelompok yang seterusnya akan membantu memulihkan ekonomi Malaysia, InsyaAllah.
Tengku Zafrul Aziz
Menteri Kewangan
26 April 2021