Facebook Twitter Instagram
    Sunday, 4 June 2023
    Facebook Twitter Instagram
    Journal Malaysia
    Banner
    • Utama
    • Terkini
    • Am
    • Politik
      • PRN Sarawak
      • PRN Johor
      • PRU-15
    • Ekonomi
    • Sukan
      • Olimpik
    • Global
    • Rencana
    • Pendapat
      • Siaran Media
    • Viral
      • Video Pilihan
    • English
    Journal Malaysia
    Home » Sitemap » Polis tahan saya bawah Sosma untuk lindungi Najib – Khairuddin
    Am

    Polis tahan saya bawah Sosma untuk lindungi Najib – Khairuddin

    adminBy admin27/04/2021Updated:27/04/2021No Comments4 Mins Read
    Facebook WhatsApp Twitter Pinterest LinkedIn Tumblr Email

    KUALA LUMPUR | Mahkamah Tinggi, di sini diberitahu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bahawa penahanannya oleh pihak polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah untuk melindungi Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menyalah guna kuasa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Lapor Bernama, Khairuddin, 59, selaku plaintif ketika membacakan penyataan saksinya berkata penahanan oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta tujuh individu lain adalah semata-mata untuk menghalangnya pergi ke Paris, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura bagi membantu pihak berkuasa di negara berkenaan melengkapkan siasatan dan perbicaraan.

    “Pendakwaan telah menggunakan peruntukan di bawah SOSMA terhadap saya antara lain menghalang kebebasan saya untuk bergerak ke luar negara bagi membantu siasatan pihak berkuasa di sana berhubung laporan polis (menyiasat mengenai isu 1MDB) yang telah saya serahkan dan bagi melindungi kleptokrasi serta salah guna kuasa bekas perdana menteri itu,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes saman Khairuddin terhadap Khalid dan tujuh individu lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah SOSMA.

    Tujuh individu itu ialah ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan ASP C. Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Kerajaan Malaysia.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu berkata laporan polis yang dibuat pada 12 Disember 2014 berasas dan terbukti apabila pihak berkuasa serata dunia telah menggerakkan agensi-agensinya untuk menyiasat dan menghalang daripada aset-aset negara Malaysia terus disedut keluar secara salah atau haram.

    “Namun, apabila pihak-pihak berkuasa di Malaysia menjalankan siasatan, pihak-pihak ini telah disenyapkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan penukaran atau pemberhentian ketua-ketua yang terlibat, sebagai contoh Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara) yang mana tindakan itu telah membantutkan siasatan isu 1MDB.

    “Selanjutnya, siasatan berhubung isu-isu 1MDB telah digantikan dengan orang-orang kepercayaan Datuk Seri Najib Razak atas pengaruh tidak wajarnya, sebagai contoh Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang antara lain membebaskan nama Najib daripada sebarang pertuduhan berhubung 1MDB.

    “Walhal, Najib kini telah disabitkan bersalah di mahkamah berhubung isu SRC International Sdn. Bhd, yang mana adalah berkaitan dengan isu 1MDB,” katanya.

    Sementara itu, disoal Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi bahawa keseluruhan kes saman yang difailkan plaintif adalah menjurus dan berpunca daripada Najib, Khairuddin menjawab: “Tidak setuju”.

    Beliau bersetuju dengan Andi Razalijaya bahawa pernyataan tuntutannya dan keterangan dalam penyataan saksinya menjurus kepada Najib, namun beliau tidak menjadikan bekas perdana menteri itu sebagai defendan dalam kes saman tersebut.

    Khairuddin tidak bersetuju dengan cadangan Andi Razalijaya bahawa usahanya membawa laporan polis ke negara berkenaan (Paris, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura) adalah untuk membuka kelemahan Malaysia kerana tidak mempercayai institusi Polis Diraja Malaysia dan mahu sabotaj perbankan dan kewangan negara.

    Khairuddin yang memfailkan saman itu pada Mei 2018, mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan pada 23 Sept tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

    Secara keseluruhan, plaintif telah ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

    Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon bersambung esok.

    Tamat

    Share. Facebook Twitter WhatsApp Pinterest LinkedIn Tumblr Email
    Previous ArticleSOP sambutan Aidilfitri yang tular adalah palsu
    Next Article KKM mungkin kurangkan atau kecualikan kompaun RM50,000 peniaga burger
    admin
    • Website

    Related Posts

    Kes Lokman Adam buat kenyataan jelik terhadap Ismail Sabri dibicara Sept

    29/05/2023

    MAIK gesa rakyat Kelantan pakai pelitup muka dan kerap cuci tangan

    21/04/2023

    Rumah hangus terbakar, 20 sekeluarga beraya di rumah jiran

    21/04/2023

    Leave A Reply Cancel Reply

    Iklan
    https://www.hondakowamas.com.my/
    Recent Posts
    • OPR: Di sebalik PMX jawab kenyataan Guan Eng
    • Kes Lokman Adam buat kenyataan jelik terhadap Ismail Sabri dibicara Sept
    • Kita haramkan judi takkan tauke judi nak derma, kata Sanusi kepada PMX
    • Sindir Hadi, Zahid menggelupur, kata Bersatu
    • SPRM perlu lepaskan sitaan akaun BERSATU- Ahmad Faizal
    FACEBOOK

    Journal Malaysia

    • Facebook
    • Twitter
    • Instagram
    Meta
    • Log in
    • Entries feed
    • Comments feed
    • WordPress.org
    About
    About

    Journal Malaysia memulakan operasi secara pada 1 Mac 2021 diwujudkan bagi memberi ruang kepada penulis dunia kewartawanan memaparkan berita terkini dengan laporan yang tepat biarpun dialam siber. Berita yang dipaparkan juga tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Hasutan 1970.

    Facebook Twitter Instagram

    Subscribe to Updates

    Dapatkan Berita Terkini daripada Journal Malaysia

    Copyright © 2021 Journal Malaysia. Designed & Hosted by ejoeSolutions.
    • Utama
    • Politik
    • Sukan
    • Seni Hiburan

    Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.