KOTA BHARU | Ramai yang prihatin mahu membantu peniaga burger yang dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan berniaga lebih had masa.
Isteri peniaga burger, Norlaili Shafien, 37, berkata, sejak kisah suaminya, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, tular semalam, ramai mahu menghulurkan bantuan.
Katanya, dia dan suaminya menerima panggilan tanpa henti daripada pelbagai pihak yang mahu menghulurkan bantuan wang tunai.
“Alhamdulillah saya tidak sangka ramai yang prihatin dengan masalah menimpa kami. Namun, setakat ini kami membuat keputusan tidak menerima sebarang bantuan kewangan memandangkan kompaun yang dikenakan belum diputuskan jumlahnya.
“Sudah ramai dalam kalangan pelanggan burger kami yang sudah memasukkan wang kerana mereka adalah pelanggan tetap dan mempunyai akaun bank kami,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dia dan suami mengusahakan perniagaan burger sejak 16 tahun lalu bersyukur kerana hasil tular itu menyebabkan ramai ingin membantu termasuk mahu menyediakan khidmat peguam.
“Kami sudah membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah hari ini bagi mendapatkan pengurangan kompaun. Ketika kami membuat rayuan, pegawai di Pejabat Kesihatan memaklumkan rayuan kami akan dihantar kepada Jabatan Peguam
Negara.
“Jika jumlah kompaun dikurangkan kepada RM25,000, kami tidak mampu membayarnya kerana kami hanya menjual burger,” katanya.
Norlaili berkata, sebelum ini mereka berniaga dengan menumpang kedai makan di Tanjung Chat, di sini, namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, mereka menutup gerai dan berpindah berniaga di depan rumah.
“Saya mengakui kesalahan berniaga lebih masa, namun saya juga mahu menjelaskan ketika kejadian tiada pelanggan dan kami tidak membuka meja sepanjang PKP.
“Kami hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pelanggan. Kami berharap jumlah kompaun itu dapat dikurangkan,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang peniaga burger terkejut selepas dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi had masa yang ditetapkan.