KUALA LUMPUR | Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan peletakan jawatan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkuatkuasa 1 Mei nanti.
Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin menerusi satu kenyataan berkata, Amrin mengambil alih kepimpinan LTAT pada 4 Januari lalu bagi menggantikan Nik Amlizan Mohamed.
“Amrin telah berjaya memberikan kesinambungan dan juga pemacuan terhadap pelaksanaan Pelan Transformasi LTAT yang bermula pada awal tahun 2019. Dengan pengalamannya, beliau telah berjaya memupuk budaya korporat yang prihatin serta nilai tanggungjawab yang tinggi ke arah pembentukan LTAT sebagai sebuah organisasi pengurusan dana bertaraf dunia.
“LTAT kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingannya dengan memastikan Pelan Transformasi LTAT kekal berada pada landasan yang betul”, katanya.
Mohd Zahidi berkata, sepanjang menjawat jawatan itu juga, LTAT berjaya melancarkan aplikasi ‘MyWIRA’ pada 26 April lalu.
Katanya, aplikasi yang dilancarkan itu adalah kemudahan atas talian tambahan, di mana sebelum ini transaksi boleh dilakukan menerusi laman web.
“Kini pencarum kami boleh mengakses penyata caruman mereka serta memeriksa status permohonan pengeluaran caruman menerusi telefon bimbit tanpa perlu datang ke kaunter.
“Bagi pihak Lembaga dan pengurusan kanan, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada (Datuk Seri) Amrin atas sumbangan beliau terutamanya dalam merapatkan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan juga Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan usaha untuk merealisasikan pengisytiharan dividen bagi tahun 2020 yang bakal diumumkan kelak,” katanya.
Beliau berkata, LTAT juga mengumumkan Ketua Pegawai Kewangannya, Mohammad Ashraf Md. Radzi, menjawat jawatan sebagai Ketua Eksekutif sementara bermula 3 Mei sehingga lantikan baharu dibuat.
tamat