PUTRAJAYA -Kerajaan hari ini lancarkan Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 dalam usaha menggalakkan komuniti membudayakan norma baharu.
Program yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hari ini juga adalah melibatkan komuniti bandar dan luar bandar di seluruh negara.
Muhyiddin berkata, program itu juga bertujuan memperkasakan peranan komuniti bersama-sama pihak Kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 dan seterusnya memastikan warga komuniti bebas daripada jangkitan.
“Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan sejumlah RM1.7 juta bagi hadiah pertandingan ini, iaitu sebanyak RM50,000 dalam bentuk nilai projek pembangunan akan diberikan kepada Komuniti Zon Hijau Covid-19 yang dipilih sebagai pemenang.
“Antara projek pembangunan yang ditetapkan ialah naik taraf ruang rekreasi komuniti, baik pulih surau komuniti, membina perpustakaan komuniti dan lain-lain projek komuniti yang bersesuaian,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.
Muhyiddin berkata, pertandingan itu akan diurusetiakan oleh Jawatankuasa Pemerkasaan Komuniti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan dilaksanakan dalam dua kategori.
Tambahnya, ia melibatkan kategori komuniti bandar yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan komuniti luar bandar diterajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Katanya, kategori pertandingan komuniti bandar khusus kepada Perumahan Strata jenis flat, pangsapuri dan apartment, manakala kategori komuniti luar bandar terdiri daripada Kampung Tradisional, Rumah Panjang dan Kampung Orang Asal dengan bertemakan “Komuniti Perkasa, Negara Sejahtera”.
Katanya, sebanyak 20 pemenang bagi kategori Luar Bandar, manakala 14 pemenang bagi kategori bandar akan dipilih di seluruh negara.
“Oleh itu, saya menyeru agar semua anggota masyarakat dapat menyahut cabaran dengan menyertai pertandingan ini.
“Insya-Allah, segala jerih perih, komitmen dan usaha pimpinan dan ahli komuniti di kawasan masing-masing untuk membenteras ancaman Covid-19 akan dapat diterjemah dan dihargai melalui pertandingan ini.
“Saya berharap agar kita akan terus berusaha dan berdoa agar ancaman wabak Covid-19 akan segera berakhir, dan semoga kita dapat kembali memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.