OLEH SITI AINIZA KAMSARI
PUTRAJAYA 28 April – Golongan perokok didapati mempunyai risiko dua kali ganda lebih tinggi mendapat komplikasi teruk berbanding bukan perokok jika mereka dijangkiti penyakit Covid 19 di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, hasil kajian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sebanyak 13.5 peratus perokok merupakan kalangan pesakit Covid 19 dan majoriti di kalangan yang berusia 30 tahun ke atas.
“Tentu sahaja 97.7 peratus perokok di kalangan pesakit Covid 19 ini adalah lelaki dan hanya 2.3 peratus lagi perempuan.
“Jadi golongan ini mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat pelbagai komplikasi Covid 19.
“Ini termasuklah Sindrom Gangguan Pernafasan Akut, kerosakan buah pinggang dan kerosakan hati,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar “Risiko Komplikasi Jangkitan Covid 19 Meningkat Dengan Amalan Merokok” di Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Fasa 3.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Chong Chee Keong dan Ketua Sektor Kawalan Tembakau Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. Nor Aryana Hassan.
Noor Azmi meminta khususnya umat Islam di negara ini supaya berhenti merokok dengan mengambil kesempatan di bulan Ramadan sebagai bulan terbaik untuk melangkah ke arah hidup yang lebih sihat tanpa amalan merokok.
“Apa salahnya kalau anda berhenti terus dari merokok. Macam mana dalam bulan puasa ini boleh berjam-jam tidak merokok. Sedangkan ini bermakna anda boleh berhenti terus dari merokok.
“Kita kena ambil keberkatan dari bulan Ramadan ini yang sebenarnya melatih kita untuk terus berhenti merokok.
“Walau tidak dinafikan dalam kalangan ahli keluarga kita, rakan-rakan dan mereka yang sekeliling kita pasti ada yang merokok tapi semua ini menyebabkan masalah kesihatan yang amat serius,” katanya.
Menurutnya dari kajian ke atas seramai 5,889 pesakit Covid 19 yang dirawat di semua hospital di seluruh negara pada 1 Februari hingga 31 Mei tahun lalu, KKM mendapati kebanyakan perokok telah memasuki Peringkat 3, 4 dan 5 apabila dijangkiti Covid 19.
“Yang memerlukan mereka dirawat di wad, di Unit Rawatan Intensif (ICU) dan terpaksa menggunakan Ventilator,” katanya.
“Memburukkan lagi keadaan kebanyakan perokok yang dijangkiti Covid 19 dimasukkan hospital telah pun mempunyai sejarah penyakit terutamanya darah tinggi dan jantung di samping penyakit paru-paru kronik.
“Keadaan ini sangat memberikan risiko kepada kematian kerana tabiat merokok sememangnya telah memberikan kesan buruk kepada kesihatan,” katanya.
Susulan itu, Kementerian katanya dengan kerjasama pelbagai pihak telah menambahbaik perkhidmatan berhenti merokok atas talian yang sedia ada.
“Terkini, melalui pautan www.jomquit.com, perokok boleh mendapatkan rawatan berhenti merokok ‘di hujung jari’.
“Iaitu dari proses pendaftaran, kaunseling perubahan tingkah laku sehinggalah mereka berjaya berhenti merokok.” Katanya.