London: Mark Webber berkata Sebastian Vettel yang tampak ‘letih’ semakin kurang keyakinan ketika dia cuba memulihkan reputasinya dalam karier Formula Satu (F1).
Juara dunia empat kali itu disingkirkan Ferrari musim lalu selepas berdepan tempoh 18 bulan yang mengecewakan dan setakat ini gagal menyerlah di Aston Martin.
Vettel, 33, menduduki tempat ke-15 di Bahrain dan Imola walaupun gagal menamatkan perlumbaan, jauh daripada era gemilang ketika dia menguasai F1 bersama Red Bull.
Bekas rakan sepasukannya, Webber bimbang kemerosotan prestasi pemandu Jerman itu ada kaitan dengan tempoh masa di Ferrari.
Katanya: “Tahap keyakinan Seb memang rendah sekarang. Kariernya di Ferrari tidak seperti diharapkan.
“Sukan kadang-kadang menguji kemampuan atlet lelaki dan wanita tetapi dalam kes ini ia membabitkan tempoh masa yang lama.
“Saya fikir spesifikasi kereta itu tidak sesuai dengan Sebastian, ia bukan kereta digemarinya. Dia suka kereta yang mempunyai tayar mencengkam dan berkuasa.
“Ingat lagi Monza ketika hujan di Toro Rosso? Sukar dipercayai, dia meninggalkan semua orang hari itu. Tetapi jika kurang cengkaman, dengan tayar Pirelli, kereta akan memberikan anda kurang keyakinan.
“Saya fikir masa tidak menyebelahi Seb dan dia bertambah penat selepas apa dilakukan bersama Ferrari.”