HYDERABAD | Sungguh menyayat hati apabila seorang lelaki di Talagana terpaksa memikul sendiri mayat isterinya sejauh tiga kilometer (km) ke tanah perkuburan, Ahad lalu.
Times of India yang melaporkan kejadian itu di bandar Kamareddy menunjukkan tiada sesiapa pun yang mahu menolong lelaki dikenali sebagai Swamy kerana bimbang wanita berkenaan meninggal dunia akibat Covid-19.
Menurut laporan media, wanita berkenaan berasa tidak sedap badan sebelum meninggal dunia di stesen kereta api.
Bagaimanapun, tiada siapa yang mahu menghulurkan bantuan untuk membawa mayat wanita berkenaan untuk ke tanah perkuburan.
Difahamkan, pasangan berkenaan dipercayai adalah pengemis.
Berdasarkan foto yang tular, Swamy dilihat memikul mayat isteri di bahunya dan berjalan ke tanah perkuburan di Indiranagar.
Sepanjang perjalanan, dia terus merayu supaya ada memberi bantuan untuk membawa mayat isterinya itu, tetapi permintaannya langsung tidak diendahkan.
Namun, ada beberapa individu yang menghulurkan duit.
Dalam pada itu, polis di stesen kereta api di situ membuat kutipan dan kemudian menyerahkan sumbangan itu kepada lelaki berkenaan.
Ia kemudian digunakan Swamy untuk membayar kos pengebumian isterinya itu.
Difahamkan, Swamy juga tidak sihat dan beberapa kali berhenti sebelum tiba di tanah perkuburan berkenaan.
Dalam pada itu, AFP melaporkan India merekodkan 3,650 kematian akibat Covid-19 hari ini, kenaikan 350 kes berbanding hari sebelumnya.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 204,832, walaupun kebanyakan pakar mengesyaki jumlah sebenar adalah lebih tinggi.
Negara berkenaan berdepan gelombang jangkitan baharu dengan hampir 380,000 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Tamat