KUALA LUMPUR | Pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi negeri Sarawak.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini, berkata tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah ialah pada 7 hingga 12 Mei 2021 manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus pada 15 hingga 20 Mei 2021.
Menurut kenyataan itu, kebenaran berkenaan adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kepada sektor pendidikan.
“Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 28 April 2021, bersetuju untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan juga memaklumkan yang pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau mahu kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.
“KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal.
“Pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri/daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar,” katanya.
Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.
“Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.
“Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.
“Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini,” katanya.
Jelas kenyataan itu, para pelajar dan ibu bapa baoleh merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melaiui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my
“Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di iPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT ditalian 03-8870 6949/6623/6628.
“Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan,” katanya.