“Along! ”
“Ya, Bah!”
“Mari sini!”
Terkedik-kedik si anak kecil berlari ke Abahnya.
“Mana selipar Alang?”
Si anak kecil mengangkut bahu, mengisyaratkan tanda tiada tahu.
“Tadi ada di tangga ini. Pergi cari!”
Kedengaran dari dalam rumah suara seorang kanak-kanak sedang menangis mahukan seliparnya.
Along terus berlalu dengan muka masamnya berjalan ke arah longkang besar di hadapan rumahnya.
“Manja!” getus hati kecil Along.
Mata Along melilau kelibat selipar adiknya yang telah dibalingnya ke dalam longkang tadi selepas dia bergaduh dengannya.
“Padan muka!’ bisik hati kecil Along.
Along berpaling ke belakang apabila terasa derapan kaki menghampirinya.
“Oh Babah!”
“Sini ke selipar Alang?”
“Hmmm” ujar si anak kecil sambil mengangguk kepalanya perlahan-lahan.
Babah mengambil sepotong kayu yang panjang untuk mengail keluar selipar yang terapung dalam air longkang besar di hadapan rumah.
“Along ke yang campakkan selipar Alang ke situ?” tanya Babah pada anak sulungnya yang menundukkan kepala, tidak berani bertentang mata dengannya.
Anaknya hanya berdaya mengangguk kepala perlahan-lahan.
“Tak baik buat macam tu. Jangan jadi seperti abang-abang Nabi Yusuf. Tak suka pada adik. Dibuangya adik ke dalam perigi. Ni….Along tak suka Alang, pergi buang selipar ke dalam longkang” nasihat Babah pada anaknya.
“Tapi Alang conteng buku Along. Lepas tu dia koyak-koyakkan buku Along.” Mengadu si anak kecil mencari simpati Babah.
“Along kena letak buku-buku di tempat tinggi, atas almari. Macam Babah letak Al Quran di tempat adik-adik tak boleh sampai. Barulah selamat” ujar Babah.
“Jom masuk rumah. Lepas mandi dan solat , Babah bacakan Al Quran tentang Nabi Yusof .” Berbunga hati kecil Along .
Firman Allah swt : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran kepada mu, dan sesungguhnya engkau sebelum itu termasuk orang yang tidak mengetahui.
(Surah Yusuf; ayat 3)
Al Quran adalah mukjizat kerana ia mengandungi segala jenis maklumat yang diperlukan oleh manusia untuk hidup berjaya dunia dan akhirat.
Terkandung di dalamnya segala jenis ilmu samada sains atau sejarah; ianya mempunyai nilai yang amat tinggi. Ia merupakan sumber motivasi dalam menjalani kehidupan, pengubat kepada kesedihan, penyembuh kepada keperitan ujian hidup, peneguh jiwa dan hati serta penunjuk kepada jalan yang lurus.
Mutakhir ini ada beberapa Youtubers melakukan eksperimen social tentang kesan bacaan Al Quran terhadap orang-orang bukan Islam.
Dapatannya adalah sama iaitu bacaan Al Quran (dalam Bahasa Arab) membawa ketenangan kepada mereka walaupun mereka tidak memahami maksud ayat-ayat tersebut.
Bagi kita orang Islam sewajarnya menjadikan Al Quran itu suatu bacaan yang mesti setiap hari.
Alangkah beruntungnya bagi kita yang mampu mendampingi Al Quran setiap waktu. Maka tenanglah hati kita, gembiralah jiwa kita , teguhlah pegangan kita dalam menghadapi ranjau-ranjau kehidupan.
Jom baca AL Quran.
Selamat menyambut Hari Nuzul Quran.
Dari meja,
Suhailah Ibrahim.
Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Kota Bharu
Ketua Penerangan Srikandi Negeri Kelantan.