KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga ADUN Melor, Dr Md Yusnan Yusof, yang telah kembali ke Rahmatullah akibat serangan jantung pada pagi hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.
Menerusi facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham sebagai wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kepada masyarakat dan negara.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” kata kenyataan itu.
Allahyarham memegang jawatan Timbalan EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Kelantan.
Sebelum dilantik sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013, Allahyarham merupakan Bekas pembantu Professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) di Rabat, Morocco.