KOTA BHARU | Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof yang meninggal dunia awal pagi tadi selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh, di sini, 2.30 petang tadi.
Allahyarham berusia 53 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.28 pagi tadi di kediamannya di Ketereh akibat serangan jantung.
Terdahulu, jenazah dimandikan di kediamannya sebelum dibawa ke Masjid Muhammadi untuk disembahyangkan selepas solat Jumaat.
Lebih 300 jemaah menyertai solat jenazah diimamkan Imam Muda Baihaqi Abdullah yang turut disertai Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Anak arwah, Mohd Jawwad Md Yusnan, berkata arwah bapa pada mulanya mengejut mak kira-kira jam 2 pagi sebelum jatuh sendiri di tepi katil.
“Lepas arwah bapa terjatuh, ibu mula tersedar sebelum mengejut semua anak. Saya terus membuat panggilan kecemasan ambulan sebelum pegawai perubatan mengesahkan arwah sudah tiada.
“Arwah tiada menunjukkan perubahan dan tidak pesan apa-apa, cuma waktu solat dia harap ajak semua anak solat jemaah yang mana selama ini sudah menjadi rutin keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini.
Arwah meninggalkan seorang Isteri, Romaini Mat Daud dan enam anak.
Sementara itu, Romaini berkata kejadian yang menimpa suami sungguh mengejutkan memandangkan arwah sebelum itu sempat bergurau dan bersembang seperti biasa.
“Arwah ada kata sehari dua rasa tidak sedap hati namun pada malam tadia dia nampak macam biasa.
“Malah sempat keluar rumah dan kalau penat sekalipun dia akan berehat sekejap. Arwah cuma ada masalah jantung dan kencing manis,” katanya.
Sebelum dipilih ADUN Melor sejak 2013, Allahyarham adalah pensyarah Fakulti Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau kemudiannya dipinjamkan bertugas dengan pertubuhan kebudayaan, Sains dan pendidikan Islam (ISESCO) di Rabat Morocco selama tiga tahun sebelum menyertai politik sepenuh masa.