KOTA BHARU | Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof.
Beliau berkata, dukacita dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Dr Yusnan Yusof, ADUN Melor yang juga Timbalan EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri telah kembali ke Rahmatullah pagi tadi.
Katanya, sebelum dilantik sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013, Allahyarham adalah bekas pembantu Professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational , Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco,
“Semenjak dilantik sebagai Timbalan EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan pada 2013, beliau berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak Enakmen-enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“Mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS Kelantan saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.