KOTA BHARU | Kerajaan negeri tidak bercadang membeli vaksin Covid-19 kerana membabitkan kos yang tinggi.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata negeri ini akan mengikut langkah negeri lain kecuali Sarawak yang mampu membeli sendiri vaksin berkenaan.
“Kos terlampau besar, kita seperti negeri lain kecuali Sarawak yang mungkin beli sendiri setakat ini.
“Kita tunggu dan buat pendaftaran vaksin seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin serta Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan negeri dibenarkan membeli vaksin sendiri.
Khairy berjata, kerahaan begeri seperti Selangor dan Sarawak yang berhasrat membeli sendiri bekalan vaksin itu harus memastikan ia berdaftar dengan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).