KUALA LUMPUR | Murid di asrama sekolah/Kolej Tingkatan Enam (KTE) Kolej Vokasional (KV) dibenarkan untuk pulang sempena cuti Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 secara berperingkat mulai 6 Mei.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata hari Khamis bagi Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei 2021 (Jumaat) bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).
KPM juga memutuskan bahawa murid dibenarkan pulang melalui empat kaedah iaitu menaiki bas disediakan pihak sekolah, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga, menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan); atau menggunakan kenderaan sendiri (hanya untuk pelajar Tingkatan Enam
dan pelajar KV).
“Pihak sekolah/KTE/KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa/penjaga.
“Sekiranya ibu bapa atau penjaga menjemput anak atau anak jagaan mereka, surat pengesahan bagi tujuan pergerakan ibu bapa/penjaga merentas negeri/zon akan dikeluarkan oleh pihak sekolah/KTE/KV bagi setiap murid,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan, kebenaran itu adalah untuk dua orang ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan.
“Merujuk prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, juga maka murid yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin.
“Murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu kekal berada di asrama sehingga tamat tempoh PKPD,” katanya.
KPM juga telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada pihak sekolah/KTE/KV dan ibu bapa/penjaga.
“Garis panduan ini turut terpakai kepada Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM dan garis panduan ini boleh dimuat turun di laman sesawang: https://www.moe.gov.my.
“Seperti mana yang diumumkan KPM pada 26 April 2021, murid perlu kembali ke asrama sebelum atau pada 12 Jun 2021 (Sabtu) bagi sekolah Kumpulan A dan sebelum atau pada 13 Jun 2021 (Ahad) bagi sekolah Kumpulan B,” kata kenyataan itu.
Pihak sekolah/KTE/KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga.