TERENGGANU | Hairuddin Omar atau lebih dikenali dengan Hai-O bekas pemain bola sepak negara bukan sahaja berbisa dalam arena bola sepak.
Kini beliau yang sudah menceburi bidang perniagaan turut menyerlahkan kebolehannya apabila pes dan sambal yang dihasilkan mampu menembusi pasaran di luar negara seperti Singapura, Australia, Korea dan Arab Saudi.
Beliau bersama sepupunya, Shukuriah sudah mempunyai sebuah kilang pemprosesan sambal dan pes dengan jenama AdeqSue terletak Seberang Takir, Kuala Terengganu.
Produk yang mereka hasilkan adalah seperti sambal ikan bilis, sambal tempoyak petai, sambal hijau, pes serbaguna, pes ikan bakar, pes asam pedas, pes rendang, pes masak merah dan pes tomyam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Naei berkata, semua produk mereka dihasilkan tanpa bahan pengawet.



“Alhamdulillah, mereka telah menerima bantuan, bimbingan dan khidmat nasihat daripada pihak MARDI dan FAMA Terengganu.
“Mereka memasarkan produk melalui agen dan pasar raya di seluruh Malaysia.
“Lebih mengagumkan produk mereka juga telah berjaya menembusi pasaran di luar negara seperti Singapura, Australia, Korea dan Arab Saudi,” katanya.
Selain mengeluarkan produk sendiri, mereka juga membuka peluang kepada pengusaha yang ingin mengeluarkan produk dengan jenama mereka sendiri.
“Tahniah dan syabas buat mereka. Semoga lebih maju jaya di masa yang akan datang,” katanya.