MOSCOW | Selepas 38 tahun hidup bersama keluarga masing-masing, dua wanita dari Rusia terkejut selepas mendapat tahu kebenaran bahawa mereka tertukar semasa dilahirkan.
Lapor Metro, ibu bapa kepada Gulsina Baimurzina dan Alyona Baulina menyedari sesuatu tidak kena kerana ciri fizikal anak perempuan mereka amat berbeza dengan anggota keluarga lain.
Hanya Gulsina memiliki rambut perang dalam keluarganya yang berambut gelap.
Begitu juga, rambut hitam Alyona menyerlah dalam kalangan ahli keluarganya yang mempunyai rambut berwarna perang.
Menurut kakak Gulsina iaitu Gulsana, adiknya cerah sejak dilahirkan manakala dia pula kelihatan agak gelap.
“Kami sedar dia tidak seperti ahli keluarga lain dan kami tidak begitu mempedulikan perkara itu.
“Malah, ada juga khabar angin menyatakan seorang wanita yang menyerupai seperti keluarga kami berada di kampung lain namun ibu saya tidak mahu mempercayainya kerana selalu menganggap Gulsina sebagai anaknya,” kata Gulsana kepada portal 74.ru.
Akhirnya, kedua-dua keluarga wanita terbabit memutuskan untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengetahui perkara sebenar.
Dilaporkan, Gulsina dan Alyona dilahirkan di Hospital Kizil di Kizilskoye pada 1983, malah kedua-dua wanita tersebut secara tidak sengaja tertukar semasa mereka masih bayi.
Hasil siasatan juga mendapati tanda pengenalan mereka yang diletakkan ketika lahir, tertanggal dan kakitangan hospital tersilap meletakkan semula pada bayi salah.
Namun, kakitangan yang bekerja di wad bersalin pada ketika itu sudah meninggal dunia.
Akibat kejadian itu, keluarga Gulsina dan Alyona menuntut pampasan sebanyak 96,589 pound (RM546,416) daripada Kementerian Kewangan Rusia.