KUALA LUMPUR | Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini menegur sikap sesetengah rakyat yang beranggapan wabak Covid-19 seolah-olah telah berakhir.
Sultah Ibrahim bertitah yang, sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan.
“Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.
“Rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.
“Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir,” titah Baginda menerusi satu kenyataan di facebook Baginda hari ini.
Titah Baginda, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.
“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titah Baginda.
Titah Baginda lagi, walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas. Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.
“Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan. Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.
“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat,” titah Baginda.
Dalam masa sama, Baginda turut menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.
“Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin.
“Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor.
Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka tersayang akibat wabak ini,” titah Baginda.