KOTA BHARU | Susulan peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu di Kelantan memaksa negeri ini membuka hospital medan dalam masa terdekat.
Hospital medan itu akan dibuka di tapak padang perdana, di sini, dan pada masa yang sama satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) juga akan dibuka di Kelantan Trade Centre (KTC).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, kedua-dua pusat itu mampu memuatkan 1,000 pesakit.
Katanya, PKRC yang sedia ada sudah hampir penuh dan hospital medan serta PKRC yang akan dibuka hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa hari sahaja sekiranya kes COVID-19 tidak turun.
“Kita terpaksa membuka hospital medan dan ia menunjukkan keadaan di Kelantan semakin kritikal.
“Fasiliti di Kelantan sama ada membabitkan peralatan hospital dan PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal.
“Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga sudah mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU terpaksa ditempatkan di wad biasa. Peralatan ventilator sebanyak 60 unit kini hanya berbaki lima unit sahaja lagi dan ia membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, negeri ini akan berdepan banyak masalah sekiranya kes semakin meningkat dan menyebabkan lebih banyak PKRC dibuka. Ia memberi kesan apabila lebih ramai kakitangan Jabatan Kesihatan diperlukan untuk bertugas.