PADANG BESAR | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukan lebih RM3 juta untuk disalurkan kepada masjid di seluruh negeri tahun ini.
Lapor Utusan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah MAIPs telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam pelan strategik MAIPs 2021-2025 sebagai hala tuju kelestarian agihan zakatnya.
“Melalui dokumen itu, tersusun pelbagai perancangan MAIPs dalam mendepani cabaran semasa bagi melaksanakan fungsi dan peranannya, selain turut membawa hala tuju yang jelas dalam meneruskan agenda pengurusan hal ehwal Islam yang cemerlang,” titah baginda.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah MAIPs juga telah menyediakan Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 serta menyiapkan Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0.
Pada majlis yang diadakan di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian, di sini hari ini, baginda turut berkenaan menyampaikan sumbangan bantuan baik pulih rumah mikro berjumlah RM2,406,718 yang diserahkan kepada Md. Razak Md. Daud bagi mewakili amil-amil zakat MAIPs seluruh negeri ini.
Baginda berkenan menyampaikan sumbangan ziarah dakwah daripada MAIPs bernilai RM594,603 yang diterima oleh Noorhamizi Yaakob bagi mewakili pengerusi jawatan kuasa kariah masjid seluruh negeri.
Program itu disekalikan dengan aktiviti Hijrah Minda MAIPs.
Mengiringi keberangkatan baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Mohd. Hafiz Abu Seman.
Terdahulu, baginda menyempurnakan penyerahan bantuan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan.
Tamat