KUALA LUMPUR | Semua penerbangan dari India adalah penerbangan kargo, tegas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata, Malaysia sudah menggantung semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India berkuatkuasa 28 April 2021 lagi.
Katanya, tindakan itu selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN).
“Semua penerbangan MH yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo. Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.
“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan Malaysia Airline Berhad (MAB) selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, CAAM, MAS Kargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini.
Katanya, semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.
“Pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini. Walau bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.
“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana krew penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan, dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuatkuasa 28 April 2021.
Ujarnya lagi, warganegara Malaysia (pelajar dan pekerja), keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori 14 hari di pusat-pusat yang ditetapkan.
“Untuk makluman, setelah mesyuarat MKN pada 28 April yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir pada pukul 5 petang, saya telah menganjurkan perjumpaan secara maya pada jam 5.10 petang dan secara peribadi berkomunikasi dengan semua pihak yang berkepentingan berdasarkan hasil pertemuan tersebut,” katanya.