PUTRAJAYA | Ziarah Hari Raya bagi kawasan pelaksanaan PKP dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu adalah tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ziarah Hari Raya bagi kawasan dikuatkuasakan PKPB dan PKPP dibenarkan pada satu hingga tiga Syawal sahaja.
Namun katanya, bagi kawasan PKPB kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu- satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
“Bagi kawasan PKPP ziarah Hari Raya dibenarkan dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 25 orang pada satu- satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal,” katanya hari ini.
Tambah beliau, dalam memastikan penularan wabak Cpvid-19 terkawal juga,tuan rumah digalakkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu badan, menggunakan QR Code MySejahtera atau menyediakan buku bagi mencatatkan nama dan nombor telefon tetamu.
Selain itu, katanya, ziarah di perkuburan juga dibenarkan bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat had tidak melebihi enam orang bagi satu lot atau petak kubur serta tidak lebih dari 30 minit.
“Walaubagaimanapun, ziarah tanah kubur bagi kawasan PKP dan PKPD adalah tidak dibenarkan.
“Bagi kawasan PKPD, sambutan Hari Raya Aidilfitiri hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga daripada rumah yang sama sahaja,” katanya.
Katanya, ini bermakna mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk keluar daripada rumah dan melakukan amalan kunjung mengunjung.
“Penganjuran sebarang majlis atau rumah terbuka hari raya bagi semua kawasan adalah tidak dibenarkan,” katanya.