PUTRAJAYA | Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Panjang Dinggai, Pakan, Sarikei, Sarawak yang dijadualkan ditamatkan esok akan dilanjutkan bermula 6 Mei ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 21 kes positif telah direkodkan hasil daripada keseluruhan 51 ujian saringan Covid-19 yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di rumah panjang tersebut.
“KKM juga memaklumkan, masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni rumah panjang tersebut serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti itu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Rumah Panjang Dinggai, Pakan, Sarikei, Sarawak bermula 6 Mei sehingga 19 Mei 2021,” katanya hari ini.
Katanya, prosedur operasi standard PKPD adalah sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut, sila rujuk di laman sesawang MKN iaitu https://www.mkn.gov.my
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Rumah Panjang Matthew, Pakan, Sarikei, Sarawak dijadualkan ditamatkan esok.
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan penamatan PKPD di tiga taman perumahan di Lahad Datu, Sabah.
PKPD di Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height, Lahad Datu, Sabah dijadualkan tamat pada esok seperti dijadualkan.