PASIR MAS | Runtuhan di tebing sungai di Kampung Pohon Celagi, di sini, semakin kritikal hingga membimbangkan penduduk.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rekahan baharu muncul setiap hari dan menunggu masa untuk jatuh ke bawah.
Katanya, situasi itu semakin kritikal membuatkan rakyat di lokasi itu semakin bimbang jika berlaku musim tengkujuh yang dijangka Oktober ini.
“Alhamdulillah, kerajaan negeri bertindak membayar sewa rumah penduduk yang terbabit dengan runtuhan.
“Yang Berhormat Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga datang mengisytiharkan peruntukan RM60 juta khusus daripada Kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih segera sebelum datangnya musim banjir.
“Dua bulan sudah berlalu (sebetulnya tiga bulan selepas insiden), namun kerja membaik pulih masih tidak nampak bayang,” katanya di laman Facebook selepas membuat tinjauan di kawasan itu, hari ini.
Beliau berkata, pagi tadi beliau menghubungi Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kelantan, Kamal Mustapha dan bertanya khabar dengan Setiausaha Politik Menteri KASA, Dr Mohd Zuhdi Marzuki serta beberapa pihak di KASA dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Katanya, projek berkenaan masih tergendala dengan urusan teknikal untuk proses tender.
“Saya mohon semua pihak di peringkat pentadbiran, tolong percepatkan urusan tawaran tender.
“Sekarang Mei, lepas raya tinggal dua minggu ke Jun. Masuk Jun, pejam celik masuk Julai, Ogos, September dan akhir September bermulalah hujan lebat sampai ke Disember atau Januari.
“Permudahkan urusan memandangkan Menteri KASA dan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sudah buat pengumuman. Kerajaan negeri juga sudah ambil tindakan.
“Tinggal lagi urusan teknikal yang nampaknya masih tak berjalan dan jika banjir datang, yang menderitanya rakyat Pasir Mas. Semua pengumuman tidak bererti lagi dan minta tolong daripada semua pihak.
“Saya akan terus menghubungi pihak berkaitan dan kalau kena rentas negeri, kali ini kita rentas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pada 17 Februari lalu, seramai 100 penduduk di Kampung Pohon Celagi terpaksa dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 500 meter.