PUTRAJAYA | Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri dibenarkan berlangsung di masjid atau surau bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia dibenarkan berlangsung dengan jumlah kehadiran jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, solat Sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid atau surau tidak dibenarkan di kawasan PKPD.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut meneliti pembentangan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mengenai prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitiri yang dijangka akan disambut pada 13 Mei 2021,” katanya.
Katanya, takbir Hari Raya di masjid atau surau juga hanya dibenarkan di kawasan PKP, PKPB dan PKPP mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri manakala bagi kawasan PKPD, ianya tidak dibenarkan.
Tambahnya, amalan takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan di semua kawasan.
“MKN juga telah membuat keputusan bahawa jamuan selepas Solat Hari Raya di masjid atau surau, rumah terbuka hari raya, ziarah tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.
“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, jamuan selepas Solat Hari Raya di masjid dan surau dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
Selain itu, jawatankuasa masjid atau surau digalakkan menyediakan juadah secara berbungkus dan diedarkan kepada para jemaah untuk dibawa pulang.