KUALA LUMPUR | Kerajaan membuat keputusan tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Memetik Berita Harian, larangan itu tertakluk di negeri dan kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata turut tidak dibenarkan adalah aktiviti takbir Aidilfitri dari rumah ke rumah.
Katanya, turut dilarang adalah jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di kawasan dikenakan PKP dan PKPD.
“Bagaimanapun jamuan selepas solat Aidilfitri dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP, tertakluk kepada (ketetapan) pihak berkuasa agama negeri.
“Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan (tidak mengadakan jamuan) walaupun pihak berkuasa agama negeri boleh tentukan tetapi kita galak atau nasihatkan juadah berbungkus diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang,” katanya pada sidang media perkembangan PKP, hari ini.