PASIR MAS | Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 1,609 kotak pelbagai jenis mercun dan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero bernilai RM29,825 di Kampung Lanchang di sini, pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, operasi pada jam 7 pagi itu menerusi Op Benteng.
Katanya, ketika anggota membuat rondaan di sekitar Kampung Lanchang, mereka melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota cuba menahan dan menghampiri kenderaan itu, namun pemandu bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan yang berhampiran.
“Pihak kita menunggu selama 20 minit, tetapi tiada siapa yang datang menuntut kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan, menemui 1,609 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun berjumlah RM14,825 disyaki diseludup dari negara jiran,” katanya di sini, hari ini.


Menurutnya, anggota bertugas kemudian merampas kesemua barang kes dan dibawa ke Komtak Taman Bakti, Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati barang itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan.