PUTRAJAYA | Susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, 14 mukim di dalam dareah Besut, Terengganu kecuali Mukim Hulu Besut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang terlibat adalah Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang dan Bukit Kenak.
Menurutnya, tujuh kawasan lain lagi adalah, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.
“Sejak 1 April sehingga 3 Mei 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 406 kes positif hasil daripada 5,617 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.
“KKM memaklumkan peningkatan kes di daerah ini berpunca daripada pergerakan keluar masuk pelajar dan pekerja dari negeri jiran dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi iaitu 95 peratus.
Selain itu beliau berkata, daerah Besut juga telah merekodkan 15 kluster bagi tempoh sama malah ada yang telah menular ke lokaliti lain.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di 14 mukim dalam daerah Besut (kecuali Mukim Hulu Besut) berkuat kuasa 7 Mei sehingga 20 Mei 2021.
“Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran selain menyekat penularan jangkitan ke luar lokaliti ini,” katanya.
Katanya, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKP sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut, sila rujuk di laman sesawang MKN iaitu https://www.mkn.gov.my.