PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Kemakmuran Bumiputera (MTKB) yang diadakan secara persidangan video, semalam.
Menurut kenyataan yang di keluarkan pejabat Perdana Menteri, MTKB berperanan untuk menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Katanya, itu termasuk menentukan sasaran, indikator makro dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi sektor-sektor penting dalam pembangunan negara yang akan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi mencapai objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
“Keahlian MTKB terdiri daripada 21 orang Menteri Kabinet, empat Ketua Jabatan, dua Ketua
Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), tiga Wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina
dan India serta tokoh-tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Antara tokoh-tokoh tersebut termasuklah Tan Sri Sulaiman Mahboob, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Dr Aini Ideris, Datuk Dr. Asma Ismail, Datuk Dr. Madeline Berma dan Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria,” katanya.
Menurut kenyataan itu, turut diwujudkan ialah Jawatankuasa Eksekutif Kemakmuran Bersama (JEKB) yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof.
“Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat MTKB,” katanya.