Pyongyang: Hanya kerana menonton drama Korea Selatan, rakyat Korea Utara boleh dipenjara sehingga 15 tahun sekiranya tidak menyerah diri kepada pihak berkuasa negara itu.
Menerusi laporan Gukmin Ilbo, ekoran bimbang akan hukuman tersebut kira-kira 10,000 pelajar Korea Utara menyerahkan diri bagi mendapatkan pertimbangan hukuman yang lebih ringan untuk kesalahan itu.
Menonton drama Korea Selatan menjadi satu kesalahan serius bagi rakyat Korea Utara.
Disebabkan itu, pelajar berkenaan menyerah diri kepada pihak berwajib berserta 5,000 pemain DVD mengandungi drama Korea Selatan.
Bagi mendapatkan hukuman yang lebih ringan, mereka perlu melaporkan kesalahan kepada polis atau pusat keselamatan setempat.
Jika tidak, mereka yang didapati bersalah bakal berdepan hukuman penjara selama 15 tahun.
Pyongyang melarang keras rakyatnya menonton persembahan atau pun drama dari Korea Selatan, yang terkenal di seluruh dunia.
Selain itu, mereka juga akan dilaporkan boleh dipenjara dua tahun jika berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Korea dalam dialek Korea Selatan.
Sebelum ini, umum mengetahui pemimpin Korea Utara Kim Jong Un turut tegas dalam soal berpakaian rakyat negara berkenaan.
Banyak pihak sebelum ini mempersoalkan cara hidup masyarakat yang disekat daripada mengamalkan cara hidup seperti negara lain.
Selain soal berpakaian, mereka juga agak terasing dari dunia luar kerana tidak mempunyai kemudahan dan teknologi canggih.
Sebaliknya, kelebihan itu hanya diberikan kepada tentera negara itu.
Begitu juga dengan soal fesyen yang tidak mengikut perkembangan semasa namun rakyat tetap patuh dengan arahan pihak berkuasa.
Selain itu, negara berkenaan juga mempunyai zon waktu sendiri yang mula digunakan pada tahun 2015.