TUMPAT | Terlantar di usia muda dan di saat kudratnya masih gagah menjadi tamparan hebat buat seorang pemuda apatah lagi dia sebenarnya tunjang utama keluarganya.
Namun hakikatnya tiada siapa menduga, di saat diri masih belum puas berbakti buat ibu dan adik-beradik termasuk anak saudara, Mohd Rahiman Aladin,33, diuji dengan masalah kesihatannya.
Kehidupannya berubah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2016 sekali gus meragut keupayaan serta kehidupannya yang berubah 100 peratus.
Akibat peristiwa hitam tersebut, saraf tunjang Mohd Rahiman mengalami kecederaan teruk, mengakibatkannya hanya mampu terbaring. Malah dia juga terpaksa kencing melalui tiub yang dipasang di perutnya.
Semua itu sungguh menguji ketabahan diri dan pastinya jiwa muda Mohd Rahiman meronta-ronta kerana dia tidak lagi mampu berbuat apa-apa, selain bergantung kepada ibu tercinta dalam menguruskan keadaan dirinya.

“Saya dah tak boleh kerja. Lima tahun hanya mampu terbaring. Mujur ada ibu.Harapkan ibulah yang bantu.
“Sekarang ini sekurang-kurangnya, saya perlukan RM300 sebulan untuk kos ubatan dan keperluan saya. Nak harapkan ibu pun tak boleh dia pun tak sihat juga,” katanya ketika ditemui di Kampung Laut Tumpat, kelmarin.
Bekas pekerja pendawaian itu tetap bertuah, walaupun ibunya, Samsiah Ibrahim,63, turut berperang dengan penyakit kencing manis dihidapinya namun, kasih seorang ibu mengatasi segalanya-galanya.
Mohd Rahiman juga berkata, keluarganya perlu berjimat berbelanja, kerana dengan duit bantuan bulanan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ditambah dengan RM300 (bayaran bulanan Socso) itulah digunakan untuk perbelanjaan harian dan juga kos perubatannya.
Katanya, dia juga perlu berjimat kerana setiap kali ke Hospital Raja Perempuan Zainab II bagi mencuci luka dan sebagainya mereka perlu membayar RM300 untuk sewa kenderaan pergi dan balik.
Mohd Rahiman turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat kerana menerusi wang zakat itulah mereka yang memerlukan termasuk keluarganya mendapat sumbangan.
Kesusahan keluarga tersebut mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), diwakili Pegawai Komunikasi Korporat, Muhamad Firdaus Mat Rahim yang menyampaikan sumbangan segera kepada Mohd Rahiman.
