KANGAR | Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menasihatkan pendakwah atau penceramah agar berhati-hati mengeluarkan pandangan yang boleh memberi implikasi besar dalam kefahaman dan amalan agama.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dalam satu kenyataan hari ini memberitahu sedemikian mengulas ucapan seorang penceramah mengatakan bahawa mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut (Kerana mematuhi SOP pihak pemerintah bagi mengelak penularan wabak Covid-19) adalah wajib bertaubat dengan menunaikan solat sunat taubat” dan juga kenyataan “norma baharu yang merosakkan akidah”.
Kenyataan itu menyebut, pihaknya telah mendapat banyak pertanyaan berhubung ucapan terbabit dan setelah menelitinya, Jawatankuasa menghargai kesungguhan beliau dalam mengingatnan umat Islam tentang kewajiban solat Jumaat, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui.
“Tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi SOP tidak dikira berdosa. Ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan oleh syarak sama seperti kebenaran menunaikan Jumaat bagi seorang yang bermusafir dan seumpamanya.
“Justeru, mewajIbkan taubat dengan solat sunat taubat bagi mereka yang tidak menghadiri solat jumaat selama tiga kali berturut-turut (kerana mematuhi SOP pihak pemerintah bagi mengelak penularan wabak Covid-19) adalah tiada asas.
“Perkataan wajib tu membawa maksud berdosa jika tidak melakukannya. Ini membawa maksud beliau menganggap berdosa mereka yang terlibat tidak menunaikan Solat Taubat,” kata kenyataan itu.
Kenyataan juga berkata, sedangkan dalam konteks mentaati ulul amri dalam perkara makruf demi maslahah menjaga nyawa soperti SOP keselamatan kesihatan adalah wajib dan melanggarnya adalah berdosa.
“Perlu diketahui bahawa meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran bukan satu dosa. Dalam hadis yang mengecam perbuatan meninggalkan solat Jumaat tiga kali dikaitkan dengan kecuaian tanpa keuzuran.
“Nabi SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kaki (dalam keadaan) cuai dan tanpa keuzuran, Allah akan mengunci mati jantung hatinya. (Hadis Riwayat Abu Daud, Sahih)
“Ungkapan beliau tentang “norma baharu yang merosakkan akidah itu difahami norma baharu boleh membawa kepada kekufuran atau sekurang-Kurangnya kesesatan.
“Hal ini sangat bahaya, norma baharu ini kebanyakannya membabitkan persoalan fekah atau hukum hakam amalan. Untuk mengaitkan dengan akidah sehingga membawa kepada kerosakan, ia suatu hal yang perlu dibuktikan secara yakin bahawa kepercayaan agama yang termasuk dalam al-Quran dan as-Sunnah telah rosak,” katanya.
Tegas kenyataan itu, jika tidak, dakwaan itu mengelirukan dan memberikan kesan yang yang tidak baik.
“Sedangkan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri sentiasa menjadikan al-Quran dan As-Sunnah dan dalil muktabar sebagai panduan sebelum mana-mana garis panduan dikeluarkan kepada masyarakat.
“Adapun nasihat dan teguran pendakwah/penceramah tersebut tentang orang yang tidak bersungguh mencuba mendaftarkan diri untuk hadir solat Jumaat (setelah dizinkan oleh pihak ulul amri) adalah wajar.
“Demikian juga perasaan keinginan untuk dapat menunaikan solat Jumaat sepatutnya ada bagi setiap mukallaf yang tiada uzur syarie.
“Dengan menghormati semangat islam pendakwah/penceramah tersebut, Jawatankuasa ingin menasihati agar berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang boleh memberi implikasi besar dalam kefahaman dan amalan agama,” katanya.