KOTA BHARU | Kejadian letupan di Jalan Pintu Geng, semalam dipercayai akibat mercun bola dalam sebuah kereta mengakibatkan 25 kediaman di flat Kampung Sireh dan Masjid Sultan Mansur mengalami kerosakan.
Kejadian petang semalam juga turut mengakibatkan seorang lelaki maut ditempat kejadian dan lima kenderaan lain turut terbakar.
Hasil tinjauan dilakukan Journal Malaysia, kebanyakan rumah di kawasan tersebut mengalami pecah cermin tingkap termasuk masjid berdekatan.
Seorang penduduk flat, Jamilah Manaf berkata, kejadian semalam membuatkan dia dan keluarganya terkejut.
Katanya, dia ingatkan petir kerana ketika itu hujan agak lebat.
“Bunyi macam bomlah…akak ingat kilat menyambar, lepas tu kami semua keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Sebaik sahaja keluar, saya lihat kereta terbakar dan ada satu kereta tu terputus dua,” katanya.
Norihan Ariatullah berkata, ketika kejadian dia dan keluarga sedang berehat di rumahnya.
“Anak bagitahu dia nampak bunga api selepas itu bunyi letupan. Ekoran itu, bingkai gambar di dinding terjatuh.
“Sebaik keluar saya nampak ada kereta terbakar. Manakala rumah pula kebanyakan tingkap pecah dan kami terpaksa bersihkan rumah sehingga jam dua pagi tadi,” katanya.
Bagi Imam Muda Masjid Sultan Mansur, Mohd Zulhilmi Abdullah, letupan berkenaan menyebabkan tingkap sekeliling dan syiling kediaman imam rosak.
Katanya, akibat letupan itu juga turut mengejutkan lima kakitangan masjid yang lain.
“Di rumah saya syiling rumah banyak yang jatuh akibat gegaran bila keluar rumah ada api menyala dan tengok kereta teruk berkecai saya tengok kawasan masjid cermin banyak pecah,” katanya.
Tinjauan juga mendapati lima buah kereta berkenaan masih dilokasi kejadian dan difahamkan pihak anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat masih membuat siasatan terperinci mengenai letupan berkenaan.