KOTA BHARU | Polis Kelantan memohon bantuan daripada Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman untuk membuat analisa kejadian kereta meletup semalam.
Kejadian jam 5.38 petang di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini, semalam menyebabkan seorang mangsa, Wan Hassan Wan Ali, 49, maut, manakala empat kenderaan lain turut terbakar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya meminta bantuan dari Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman yang mempunyai kepakaran untuk membuat analisa berhubung kejadian.
Katanya, keputusan analisa itu akan diketahui secepat mungkin.
“Kejadian kereta meletup hingga terputus dua semalam dipercayai kerana mangsa merokok dan pada masa yang sama dalam kenderaan itu mempunyai mercun bola dalam jumlah yang banyak.
“Letupan itu menyebabkan kemusnahan yang agak besar dan memberi kesan dalam jarak 100 meter termasuk kepada kenderaan yang berdekatan, masjid, rumah penduduk dan tadika.
“Kejadian ini adalah pertama kali berlaku di negeri ini,” katanya dalam sidang media ketika meninjau Kampung Terusan Limbat, Pasir Tumboh di sini, hari ini.
Kampung Terusan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 4 Jun depan.
Mengulas lanjut berhubung kejadian Shafien berkata, kejadian itu berlaku ketika kereta sedang berhenti di lampu isyarat.
“Ada saksi yang kata, ketika kejadian mangsa merokok dan membuka tingkap sedikit sebelum letupan berlaku.
“Letupan itu menyebabkan empat kenderaan rosak dan empat mangsa lain cedera termasuk seorang cedera parah. Kesemua mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dalam keadaan stabil,” katanya.
Menurutnya, jumlah kemusnahan dalam kejadian itu belum diketahui memandangkan mangsa lain termasuk penduduk di lokasi yang terkesan dengan kejadian belum membuat laporan polis.
Beliau meminta semua mangsa tampil membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan termasuk jumlah kerugian.- JOURNAL MALAYSIA