KOTA BHARU | Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menjangkakan kenaikan 30 peratus rakyat negeri ini melakukan pinjaman dengan syarikat tidak berlesen atau ah long susulan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Aktivisnya, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani, berkata tahun lalu, dianggarkan lebih 1,000 peminjam dari 168 ah long direkodkan di seluruh negeri ini.
Katanya, kebanyakan daripada mereka adalah peniaga serta kontraktor yang terpaksa meminjam dengan syarikat peminjam wang tidak berlesen kerana proses kelulusannya mudah.
“Pada Ramadan lalu, kita menerima lima aduan daripada peniaga bazar Ramadan yang tidak mampu membayar semula pinjaman ah long selepas wang yang dipinjam habis digunakan sebagai modal berniaga.
“Duit yang dipinjam sudah digunakan membeli barang tapi tiada pulangan kerana bazar Ramadan tutup menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk membayar balik. Bagaimanapun, kita dapat selesaikan selepas melakuan perbincangan dengan pihak syarikat berkenaan.
“Cuma disebabkan desakan hidup susulan ramai rakyat ketika ini tidak dapat berkerja, malah ada yang dibuang terpaksa melakukan pinjaman mudah ini untuk meneruskan kelangsungan hidup walaupun sedar kesan meminjam dengan ah long,” katanya kepada Journal Malaysia.
Mengulas lanjut, katanya, kebiasaan pihaknya menerima purata 10 aduan sehari yang menghadapi masalah pinjaman ah long.
“Kita ada terima satu kes seorang wanita yang terpaksa meminjam RM200 daripada ah long, tapi menghadapi masalah sehingga pinjamannya menjadi RM1,600 selepas bunga.
“Masalah ini kita cuba selesaikan. Walaupun kita selesaikan dengan kaedah perbincangan, namun mereka masih perlu membuat bayaran seperti dijanjikan.
“Disebabkan itu saya nasihatkan kepada orang ramai supaya elakkan meminjam daripada syarikat pinjaman tidak berlesen kerana kesannya boleh ‘merebak’ sehingga ahli keluarga yang lain,” katanya.